KEMPEN BOIKOT ZIONIS


| View Show | Create Your Own

Friday, February 16, 2007,1:32 PM
Kembalilah kepada Islam
Oleh YB TUAN GURU DATO' SERI HAJI ABDUL HADI AWANG
Demi kesejahteraan dunia-akhirat Kembalilah kepada Islam Muslimin sekalian, Saya berpesan kepada kamu dan juga kepada diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah. Maka berjayalah mereka yang bertaqwa. Carilah bekalan dan sebaik-baik bekalan ialah taqwa. Marilah kita mendengar peringatan Allah SWT di dalam al-Quran yang penuh di dalamnya pengajaran dan kebaikan di dunia dan di akhirat: Wahai manusia, makanlah kamu daripada apa yang ada di bumi daripada yang halal dan yang baik, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia menjadi musuh kamu yang nyata. (Al-Baqarah: 168) Berkenaan dengan ayat ini, ulama' tafsir berpendapat apa yang halal dan yang baik ialah semua perkara yang memberi manfaat kepada roh dan jasad. Semua perkara yang dihalalkan oleh Allah memberi kebaikan dan manfaat, sementara yang diharamkan itu memberi kemudaratan kepada manusia. Kita hendaklah menyedari bahawa Allah SWT itulah Tuhan yang menjadikan manusia, Tuhan yang menghidup dan mematikan mereka. Maka Allah SWT itulah yang memberi rezeki dan nikmat kepada manusia. Oleh itu, Allah SWT mengetahui apa yang membawa kebaikan dan apa yang memberi keburukan kepada manusia. Maka apa yang dihalalkan oleh Allah semestinya membawa kebaikan dan yang haramkan itu sudah tentu membawa keburukan. Allah Taala sangat sayang kepada manusia, manusia adalah makhluk yang paling mulia dijadikan oleh Allah dengan dikurniakan dengan berbagai-bagai nikmat. Kasih sayang Allah Taala kepada manusia lebih daripada sayangnya ibu bapa kepada anaknya dan sayangnya seluruh manusia kepada seseorang. Oleh itu, Allah SWT menurunkan peraturan dan undang-undang untuk mengawal manusia. Kita wajib menurut peraturan Allah Taala termasuklah peraturan yang berkaitan dengan makan minum. Ada makanan yang halal dan ada yang haram. Ada minuman yang halal dan ada pula yang haram. Walaupun Allah Taala mengharamkan beberapa makanan seperti daging babi dan bangkai, tetapi banyak lagi yang halal dan lazat. Walaupun Allah Taala mengharamkan arak tetapi banyak lagi minuman yang halal dan menyegarkan. Mutakhir ini berlaku di dalam masyarakat Islam perkara-perkara yang melanggar peraturan dan hukum Allah Taala. Ada sebilangan orang Islam memakan makanan atau minuman yang haram, seperti sumber yang haram terdiri daripada kegiatan riba, mencuri dan rasuah, dan juga bahan yang memabukkan seperti arak, dadah, menghidu gam dan lain-lain. Perkara haram tersebut samada dibawa masuk oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam atau penyakit yang dicari sendiri. Perkara yang diharamkan itu, jika dilakukan akan membawa mudarat bukan sahaja di dunia tetapi juga membawa padah di akhirat. Dunia akan ditimpa dengan pelbagai penyakit kepada diri dan masyarakat, sementara di akhirat akan masuk neraka dan menerima azab yang pedih. Orang yang melanggar ketentuan dan peraturan Allah Taala sebenarnya menjadi pengikut syaitan. Jangan kamu menurut jejak langkah syaitan - syaitan merupakan makhluk yang dijanjikan oleh Allah akan menjadi penghuni neraka jahanam. Oleh itu syaitan akan berusaha mencari rakan dan kawan untuk bersama di dalam neraka. Tiba-tiba ada manusia yang sanggup menjadi rakan syaitan, terpengaruh dengan godaan syaitan sehingga memakan dan meminum benda yang haram dan melakukan kerja-kerja yang diharamkan oleh Allah Taala. Manusia semacam ini lupa kepada nikmat Allah ke atasnya. Allah mengurniakan kepadanya Islam, akal fikiran, rezeki yang halal daripada makanan dan minuman yang sedap dan menyegarkan. Walaupun begitu banyak nikmat Allah kepada manusia, terutamanya sebagai orang Islam, tiba-tiba ada pula di kalangan mereka yang tidak menghargai nikmat Allah ini. Walaupun Allah mengurniakan Islam sebagai agama yang membawa keselamatan di dunia dan di akhirat, mereka tinggalkan ajaran Islam dan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Walaupun Allah memberi nikmat akal untuk mereka berfikir dan memilih perkara yang baik dan menolak perkara yang buruk, tiba-tiba mereka memusnahkan akal mereka dengan perkara yang memabukkan seperti arak, dadah dan lain-lain. Apa yang membezakan manusia dengan binatang ialah dengan agama dan akal fikiran. Sekiranya manusia tidak mengikut agama maka mereka seperti binatang yang hidup dengan tidak ikatan dan peraturan. Sekiranya manusia sanggup makan benda-benda yang memabukkan bermakna mereka telah merendahkan martabat dan nilai nikmat akal fikiran, sehingga meletakkan perkara yang paling berharga itu di tempat yang paling hina. Semua ini akan membawa kemusnahan kepada badan dan nyawa. Semua pihak mestilah melaksanakan tanggungjawab masing-masing membasmi gejala yang merosakkan ini bermula daripada orang perseorangan, keluarga dan kerajaan. Setiap orang hendaklah mengenali diri masing-masing, hendaklah mengenali Allah Taala yang menjadikan dan mengenali perintah-perintah dan larangan yang terkandung di dalam ajaran agama iaitu Islam. Jangan sekali-kali seseorang itu melakukan perkara yang menggambarkan dia tidak mengenali dirinya dan tidak mengenali Tuhannya. Ibu bapa pula hendaklah menjaga orang-orang yang di bawah jagaannya. Janganlah mereka memelihara anak-anak mereka seperti memelihara binatang ternakan dengan hanya memberi makan dan minum, kemudian membiarkan anak-anak itu tidur di mana mereka suka, bermain di mana saja dan bergaul dengan sesiapa saja. Sangat malang jika ada di antara ibu bapa yang mempertahankan anak-anak mereka yang melakukan kesalahan, dan marah jika ada orang yang memberi nasihat kepada mereka. Ibu bapa hendaklah sedar bahawa anak-anak adalah amanah Allah. Jika ibu bapa gagal mendidik anak mereka serta lalai dan berlepas tagan kepada orang lain, maka bukan saja anak-anak masuk neraka, bahkan menjadi sebab ibu bapa masuk neraka. Pihak kerajaan juga hendaklah memelihara rakyat daripada segala bentuk maksiat dengan melaksanakan undang-undang Islam. Undang-undang manusia gagal mengubati penyakit masyarakat kerana undang-undang manusia datang daripada akal fikiran dan hawa nafsu. bahawa nafsu tidak boleh mengalahkan hawa nafsu. Yang boleh mengalahkan hawa nafsu hanyalah peraturan dan hukum Allah. Lihatlah kegagalan peraturan manusia pada hari ini. Bukannya Jenayah bukan berkurangan tetapi makin bertambah hari demi hari. Contohnya, oleh kerana hukum potong tangan ke atas pencuri tidak diamalkan, maka makin ramai orang berani mencuri dan menggunakan pelbagai cara yang baru. Oleh kerana hukum hudud di dalam bab jenayah zina tidak dilakukan, maka makin banyak kes-kes zina dilaporkan dan makin banyak kejadian membuang anak hasil daripada perzinaan. Inilah beberapa contoh daripada banyak kejadian jenayah yang tidak terkawal lagi. Menjadi kewajipan kepada pemerintah mendidik rakyat dengan melaksanakan peraturan Islam samada hudud, qisas atau takzir yang datang daripada Allah SWT, Tuhan yang menjadikan manusia dan lebih tahu apakah peraturan yang boleh mendidik manusia. Marilah kita kembali semula kepada Islam dan ajaranNya di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara supaya kita selamat di akhirat dan di dunia. "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada apa yang baik yang Kami (Allah) rezekikan kepada kamu. Dan bersyukurlah kamu kepada Allah jika kamu benar-benar menyembahNya". (Al-Baqarah: 172).
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤